Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Lebih 50 orang menghadiri ceramah Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bertajuk Corrosion: The Silence Menace of the Industry anjuran Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei yang berlangsung di Jabatan Kerja Raya, Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.
Perbincangan untuk meneroka teknologi kakisan, perniagaan dan ekonomi dari segi kemapanan projek kejuruteraan minyak dan gas itu menumpukan kos kakisan dan implikasi negatif, integriti aset dan kemapanan untuk generasi akan datang selain memastikan negara menggunakan platform bersepadu untuk pengurusan profesional.
Ceramah disampaikan oleh penceramah undangan dari Mach3 Engineering Sdn Bhd, Michelle Lau yang turut menyampaikan ceramah teknikal pada persidangan antarabangsa dan bengkel mengenai kesedaran perlindungan kakisan, perlindungan katod dan kawalan kakisan.
