Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Lebih 50 orang ibu tunggal dan anak-anak yatim di Kampung Subok, Mukim Kota Batu, kelmarin, telah menerima sumbangan derma daripada Dato Victor Lai dan diselajurkan dengan acara berbuka puasa.
Majlis yang berlangsung di Restoran SCR Xpress di Citis Square itu, adalah sebagai usaha untuk memberikan keceriaan kepada ibu tunggal dan anak-anak yatim dalam menjalani ibadah puasa seterusnya sedikit sebanyak dapat membuat persiapaan Hari Raya Aidilftri nanti.
Di majlis itu, turut menyampaikan sumbangan derma adalah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat yang juga Ketua Kampung Subok, Mukim Kota Batu selaku tetamu khas pada majlis tersebut.
Selain sumbangan kewangan yang diberikan kepada ibu tunggal dan anak-anak yatim, pengagihan 32 beg yang mengandungi barangan makanan asasi seperti beras, minyak masak, gula, biskut, Milo, mi segera dan susu tin turut diagihkan kepada penerima.



