WELLINGTON, 30 Nov – Lebih 50 ekor ikan paus pilot yang tersadai di tepi laut mati di New Zealand hari ini, kejadian terdampar besar-besaran terbaharu minggu ini yang dikaitkan oleh para pakar dengan suhu lautan yang semakin meningkat.
Ikan paus yang mati itu adalah sebahagian daripada kumpulan sebanyak 80 hingga 90 ekor ikan paus yang dikesan lewat semalam di pesisir pulau terpencil Pulau Chatham kira-kira 800 kilometer timur Pulau South, menurut Jabatan Pemuliharaan.
Kejadian berkenaan merupakan kes kali kelima di New Zealand dalam tempoh kurang seminggu, termasuklah 145 ikan paus pilot yang kesemuanya mati selepas terdampar di Pulau Stewart, luar pantai selatan Pulau South, hujung minggu lalu. Apabila pasukan renjer tiba, kumpulan terbaharu itu pada awal hari ini, mendapati 50 ekor ikan paus mati, seekor lagi masih hidup dan terdampar manakala yang lainnya berjaya mengapungkan semula dengan sendiri dan kembali ke laut.
Pengurus Jabatan Pemuliharaan, Dave Carlton berkata ikan paus yang masih bernyawa dalam keadaan teruk dan terpaksa dimatikan dengan kaedah eutanasia.
“Ia adalah tindakan paling berperikemanusiaan untuk dilakukan dan merupakan satu keputusan teruk yang terpaksa dilakukan,” katanya.
Pulau Chatham merupakan lokasi di mana berlakunya insiden ikan paus terdampar berskala besar di New Zealand pada 1918, yang melibatkan 1,000 ekor ikan paus.
Dalam tambahan kepada insiden ikan paus terkandas di Pulau Chatham dan Pulau Stewart minggu ini, sekumpulan ikan paus pigmi turut terdampar di utara New Zealand dan seekor ikan paus sperma serta pigmi turut terdampar dalam kejadian berasingan di Pulau North.
Sebab-sebab yang menyebabkan ikan paus dan lumba-lumba terdampar tidak dapat difahami sepenuhnya namun terdapat beberapa teori termasuk sakit, kesilapan navigasi, ciri-ciri geografi, kehadiran pemangsa dan cuaca ekstrem. – AFP
