HANOI, 11 JULAI – Lebih 50 orang pegawai di Vietnam hari ini dibicarakan atas tuduhan rasuah berhubung penerbangan penghantaran pulang semasa pandemik COVID, skandal yang menyaksikan beberapa orang menteri kanan dipecat.
Kes tersebut merupakan sebahagian besar daripada usaha anti rasuah yang membawa kepada peletakan jawatan secara mengejut Presiden Nguyen Xuan Phuc awal tahun ini satu langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Vietnam, di mana perubahan politik biasanya diatur dengan teliti.
Awal hari ini, media kerajaan menerbitkan gambar-gambar defendan kesemua mereka memakai pelitup muka ketika mereka diiringi oleh pegawai polis ke bangunan mahkamah di tengah Hanoi di mana mereka disoal siasat.
Antara yang dibicarakan ialah bekas timbalan datuk bandar Hanoi, Chu Xuan Dung dan bekas duta Vietnam ke Jepun, Vu Hong Nam, yang masing-masing memberikan lebih AS$75,000 kepada negara sebagai ‘wang untuk menanggung akibat,’ seperti dilapor oleh laman sesawang berita negara, VNExpress.
Awal minggu ini, akhbar Thanh Nien melaporkan bahawa pendakwa raya akan mendakwa 21 orang pegawai dan penjawat awam kerana menerima hampir A$7 juta daripada 100 buah perniagaan untuk menyelesaikan prosedur pentadbiran bagi penghantaran pulang.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P10-4Vietnam-WEB_12072023.jpg)
Seramai 33 yang lain akan didakwa dengan pelbagai tuduhan, termasuk “menawarkan atau perantaraan rasuah, penipuan dan penyalahgunaan kuasa,” menurut laporan.
Jumlah keseluruhan wang suapan yang terlibat mencecah AS$9.5 juta, menurut laporan Thanh Nien, kelmarin.
Ia termasuk kira-kira AS$2.65 juta yang diberikan kepada pegawai polis untuk mengelak hukuman, tambah laporan.
Seramai 18 orang defendan, termasuk bekas timbalan menteri hal ehwal luar, To Anh Dung, dan bekas pembantu timbalan perdana menteri, Nguyen Quang Linh, bakal berdepan hukuman mati jika didapati bersalah. – AFP