SFAX, 4 Jun – Lebih 50 pendatang mati lemas di Mediterranean kelmarin, sebahagian besarnya di luar laut Tunisia dan Turki sementara Itali dalam rangka untuk mengubah dasar baharu.
Pihak berkuasa Tunisia berkata, 48 mayat telah ditemui di pinggir laut bahagian selatan, berhampiran bandar Sfax, sementara 68 yang lain diselamatkan. “Bot tersebut mempunyai kapasiti 75 hingga 90 orang tetapi bot itu menampung lebih daripada 180,” kata Wael Ferjani, rakyat Tunisia yang terselamat dari wilayah Gabes. Sementara air mula memasuki bot itu, beberapa penumpang melompat ke air dan lemas, beritahunya kepada AFP.
Jumlah kematian telah dikeluarkan setakat jam 7 malam waktu setempat selepas operasi mencari dan menyelamat berakhir. Misi mencari yang terselamat akan diteruskan awal pagi Isnin, menurut Mohammad Salah Sagaama dari pangkalan tentera laut Sfax memberitahu kepada AFP. Warga Tunisia dan para pendatang berulang kali cuba untuk merentasi Mediterranean untuk memulakan hidup yang lebih baik di Eropah dengan 120 warga Tunisia diselamatkan oleh tentera laut pada Mac lalu selepas cuba untuk sampai ke Itali. Pada Oktober lalu, pertembungan antara bot pendatang dan kapal tentera Tunisia telah menyebabkan 44 orang terkorban di mana Perdana Menteri Youssef Chahed menyifatkannya sebagai ‘bencana negara’.
Insiden kapal terbaharu ini merupakan paling banyak meragut nyawa di Mediterranean sejak 2 Februari apabila 90 orang mati lemas di luar laut Libya, menurut IOM.
Di Mediterranean, seramai sembilan rakyat Syria termasuk tujuh kanak-kanak mati lemas apabila kapal yang dinaiki tenggelam di lautan Turki. – AFP
