Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 2 JUN – Sebagai inisiatif untuk menyediakan platform perhimpunan belia di Daerah Belait sempena cuti sekolah ini, Belia Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan dengan kerjasama jawatankuasa takmir masjid telah menganjurkan Program Kem Belia, ‘Belia Pemeduli Wira Kebajikan’.
Kem belia selama tiga hari dan dua malam yang disertai lebih 50 orang belia berusia antara 16 hingga 25 tahun dari seluruh Daerah Belait telah dirasmikan oleh Ketua Unit Belia, Divisyen Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Yusli bin Haji Ashli, selaku tetamu kehormat yang telah dialu-alukan oleh pengarah program, Awang Abdul Mun’em bin Abdullah Chung.
Pada majlis pelancaran itu, Awang Abdul Mun’em dalam ucapannya menyatakan harapan agar para peserta merebut peluang itu agar dimanfaatkan sepenuhnya, bukan hanya mempelajari pelbagai kemahiran, bahkan membantu mengukuhkan hubungan antara semua belia yang terlibat.
Beliau juga berharap agar kem itu akan membantu para belia ke arah visi Wawasan Brunei 2035, iaitu melahirkan belia yang aktif, yang akan memberikan impak positif pada masyarakat sekeliling dan negara di samping memberi peluang kepada mereka untuk mendalami ajaran agama Islam sempena bulan Ramadan ini.
