DALLAS, 5 JAN – Kebakaran di sebuah pusat membeli-belah di Dallas pada pagi Jumaat telah mengorbankan lebih 500 haiwan, kebanyakannya burung kecil, menurut pihak berkuasa.
Jurucakap anggota bomba dan penyelamat Dallas (DFR), Jason Evans, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 579 haiwan di sebuah kedai haiwan peliharaan di Plaza Latina, Northwest Dallas, mati akibat terhidu asap.
Walaupun api tidak sampai kepada haiwan-haiwan tersebut, ayam, hamster, dua ekor anjing, dan dua ekor kucing turut terkorban akibat terhidu asap, jelas Evans.
Dua penggera kebakaran itu berbunyi sekitar dua jam untuk dipadamkan dengan bantuan seramai 45 anggota bomba pada sekitar jam 11 pagi, kata Evans.
“Walaupun anggota DFR telah melakukan pencarian dan usaha menyelamat, malangnya semua haiwan di kedai tersebut telah mati akibat terhidu asap,” tambahnya.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan orang awam.
Namun, struktur bangunan pusat membeli-belah satu tingkat itu mengalami kerosakan teruk, termasuk sebahagian bumbung yang runtuh.
Pusat membeli-belah itu, yang menempatkan beberapa buah perniagaan kecil, digambarkan di laman Facebooknya sebagai ‘tempat di mana orang ramai boleh menikmati makanan dan membeli pelbagai barangan serta perkhidmatan Latin.’
Dalam satu hantaran dalam bahasa Sepanyol, laman tersebut turut meminta doa keselamatan untuk keluarga yang bekerja di sana.
Punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan, kata Evans. – AP