Oleh: Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Standard Chartered Brunei (StanChart) turut meraikan Sambutan Tahun Baru Cina dengan mengadakan Majlis Rumah Terbuka yang berlangsung di Hua Ho Manggis Ballroom, hari ini.
Majlis berkenaan dihadiri oleh lebih 500 orang tetamu termasuk para pegawai kanan kerajaan, klien, rakan perniagaan dan rakan bank dalam suasana perayaan yang penuh dengan semangat muhibah dan perpaduan.
Ketua Pegawai Eksekutif StanChart, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim bersama-sama dengan kumpulan pengurusan kanan bank berkenaan telah mengalu-alukan kehadiran para tetamu sekali gus mencerminkan komitmen bank berkenaan dalam memupuk hubungan kukuh dengan pihak-pihak yang berkepentingannya.
Mengulas mengenai majlis berkenaan, Pengiran Aki Ismasufian menyatakan Tahun Baru Cina merupakan masa bagi pembaharuan, kemakmuran dan aspirasi bersama. Oleh itu, ia merupakan satu penghormatan untuk meraikan perayaan itu dengan klien dan rakan kongsi mereka serta mengukuhkan kepercayaan dan hubungan yang memacu kejayaan kolektif bersama, jelasnya lagi.
Pengiran Aki Ismasufian turut menyatakan bahawa sebagai sebuah bank antarabangsa yang mempunyai akar yang kukuh di Brunei dan di serata ASEAN, mereka kekal berdedikasi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, memupuk inovasi dan menjana peluang yang memberikan manfaat kepada perniagaan dan masyarakat.
Sambutan berkenan turut mengetengahkan peranan StanChart sebagai rakan kongsi kewangan utama di Brunei, mengukuhkan misinya untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan kemakmuran jangka panjang.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/scb-1.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/scb-3.jpg)