Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Sebanyak 506 kes kemalangan jalan raya telah dicatatkan dari Januari hingga Jun 2020 dan daripada jumlah berkenaan, enam daripadanya terlibat dalam kemalangan maut akibat sama ada pemandu atau penumpang tidak memakai tali pinggang keselamatan semasa kejadian itu.
Dapatan itu merupakan hasil daripada laporan-laporan awal yang disediakan dan juga lawatan-lawatan ke tapak kejadian serta penelitian lanjut sudut kecederaan mangsa yang terkorban dan kerosakan yang dialami oleh kenderaan serta aspek-aspek lain yang berkaitan.
Statistik itu didedahkan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Penguasa Kanan Polis Pengiran Haji Abdul Salam bin Pengiran Haji Abdul Ghani ketika memberikan penerangan semasa Sidang Media Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Rebiu Pertengahan Tahun Statistik Kemalangan dan Kesalahan Jalan Raya yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini.
Jelasnya, daripada jumlah kes kemalangan jalan raya itu juga, didapati bahawa kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal adalah sebanyak 18 kes.
Menurut statistik Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), PPDB, jika dibandingkan jumlah kes kemalangan yang dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Jun bagi 2018 dan 2019 terdapat pengurangan jumlah kes kemalangan sebanyak 47 kes iaitu sebanyak 633 kes pada 2018 kepada sebanyak 586 kes pada 2019.

Manakala itu, bagi tempoh yang sama, Januari hingga Jun bagi 2019 dan 2020, terdapat pengurangan jumlah kes kemalangan sebanyak 78 kes iaitu sebanyak 586 kes pada 2019 kepada sebanyak 508 kes pada 2020.
Dari segi jumlah kes kemalangan maut pada tempoh masa yang sama iaitu Januari hingga Jun, terdapat pengurangan daripada jumlah 10 kes maut kemalangan pada 2018, menurun kepada lapan kes pada 2019 dan enam kes kemalangan maut pada 2020.
Dalam hubungan itu, JSKLL, mengingatkan kepada orang ramai bahawa adalah sangat mustahak untuk menggunakan tali pinggang keselamatan kerana jika berlaku kemalangan ia dapat menghindarkan pemandu dan penumpang kenderaan daripada terhumban atau terhentak kepada hadangan di hadapan seperti cermin hadapan, papan pemuka dan roda stereng.
Beliau menyatakan bahawa mengikut statistik PPDB bagi kes-kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2020, kawasan yang tertinggi berlaku kes kemalangan adalah kawasan lebuh raya secara amnya dan secara khasnya di Lebuh Raya Muara-Tutong di mana berkemungkinan faktor kelajuan menjadi salah satu punca statistik berkenaan.
Manakala itu, mengulas mengenai dengan punca-punca kemalangan yang dilaporkan kepada PPDB bagi Januari hingga Jun 2020, Penguasa Kanan Polis Pengiran Haji Abdul Salam menyatakan bahawa hasil dari siasatan pihak polis mendapati kebanyakan daripada kemalangan yang berlaku adalah berpunca dari sikap pemanduan yang cuai semasa memandu di atas jalan raya, terutama sekali apabila keluar simpang dan juga di tempat persimpangan apabila mengekori kenderaan dengan dekat sehingga menyebabkan kemalangan langgar belakang.
Beliau juga mengongsi profil pemandu yang terlibat dalam kemalangan yang dilaporkan kepada PPDB bagi Januari hingga Jun 2020 di mana mengikut statistik yang diperoleh, pemandu lelaki adalah lebih ramai terlibat dalam kemalangan yang dilaporkan kepada PPDB berbanding dengan pemandu wanita.
Manakala itu, sebanyak 79 peratus daripada kemalangan yang dilaporkan bagi setengah tahun 2020 melibatkan pemandu tempatan dan 21 peratus terdiri daripada pemandu orang
asing.
Pada sidang media itu juga, Penguasa Kanan Polis Pengiran Haji Abdul Salam berkongsi statistik kelamaan memegang lesen memandu bagi pemandu yang terlibat dalam kemalangan yang dilaporkan kepada PPDB bagi Januari hingga Jun 2020, di mana purata tertinggi bagi pemandu yang memiliki lesen memandu yang terlibat dalam kemalangan, sebanyak 48.4 peratus iaitu terdiri daripada pemandu yang mempunyai kelamaan memegang lesen antara 11 hingga 15 tahun.
Umur kenderaan yang terlibat dalam kemalangan yang dilaporkan kepada PPDB bagi Januari hingga Jun 2020 ialah kenderaan yang berusia enam ke 10 tahun adalah kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan iaitu sebanyak 33 peratus yang diikuti dengan kenderaan yang melebihi 16 tahun, sebanyak 25 peratus.