Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 500 sertai Walkaton Hari Strok Sedunia

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai strok, lebih 500 orang telah menyertai acara Walkaton Hari Strok Sedunia 2024 anjuran Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan acara walkaton ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamed.

    Terdahulu, Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar dalam ucapan alu-aluannya antara lain menggariskan beberapa tindakan yang boleh diambil bagi mengelakkan gejala serangan strok.

    Antaranya masyarakat disarankan untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan pemakanan yang seimbang dan berzat, di samping meningkatkan kesedaran awal tentang tanda-tanda serangan strok.

    Selain itu, tindakan meningkatkan kesedaran terhadap strok menerusi pengumpulan dan perkongsian maklumat secara sistematik dan telus dalam media dan penyerapan melalui pendidikan dan pembelajaran yang padu untuk disalurkan melalui institusi pendidikan kepada penuntut-penuntut.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi melancarkan Kempen Hari Strok Sedunia kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara peserta mengambil bahagian dalam acara pemanas badan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara peserta yang mengambil bahagian dalam acara walkaton tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    “Strok juga penyebab kerosakan urat saraf otak iaitu apabila pembuluh darah tersumbat dan kemudiannya pecah, ianya boleh mengakibatkan sel-sel otak menjadi rosak dan tidak berfungsi. Situasi ini menghalang penghantaran oksigen di dalam pembuluh darah yang tersumbat tersebut dan akan menyekat saluran oksigen dan zat pemakanan yang diperlukan oleh anggota-anggota badan,” tambah beliau.

    Sekiranya ini terjadi kepada seseorang, tegasnya, ianya akan merumitkan lagi keadaan seseorang tersebut yang menjadikannya tidak bermaya akibat serangan strok.

    Beliau seterusnya menjelaskan Pusat Neurosain Strok dan Rehabilitasi Brunei (BNSRC) akan terus berusaha untuk memberikan rawatan dan sokongan kepada pesakit-pesakit strok di samping memantau dan meningkatkan lagi kesedaran pencegahan serangan strok di Negara Brunei Darussalam.

    “BNSRC juga berhasrat untuk terus bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat untuk menangani fenomena serangan strok dari segi ‘kesedaran, pencegahan, rawatan, penerangan dan sokongan padu’ sama ada rasmi atau tidak dengan harapan semua akan dapat membina masyarakat berprihatin untuk memastikan rakyat mendapat tahap kesihatan yang amat tinggi dan cemerlang,” tambahnya.

    Hari Strok Sedunia mula diraikan dan dilancarkan pada 29 Oktober 2004 oleh Kongres Strok Sedunia di Vancouver, Kanada, sekali gus membawa kepada penubuhan Pertubuhan Strok Sedunia di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang berfungsi secara majmuk untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan pihak-pihak yang berkepentingan tentang serangan strok.

    Tema Hari Strok Sedunia, Be #Greater Than Stroke yang berteraskan kepada penerapan nilai-nilai positif menggalakkan semua lapisan masyarakat dan individu-individu untuk menjalankan peranan masing-masing ke arah merealisasikan pencegahan serangan strok.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda