Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 500 tangkapan dibuat guna teknologi pengecaman muka

    LONDON, 8 DIS – Pasukan Polis Metropolitan London berkata Jumaat lalu bahawa ia telah menggunakan teknologi pengecaman muka untuk membuat lebih 500 tangkapan pada tahun 2024 bagi kesalahan merangkumi mencuri barangan kedai termasuk merogol.

    Pasukan itu menggunakan pengecaman muka secara langsung di kawasan tertentu di ibu negara United Kingdom, dengan meletakkan sebuah van yang dilengkapi dengan kamera di lokasi yang telah dipersetujui sebelumnya.

    Kamera menangkap rakaman langsung orang yang lalu-lalang dan membandingkan wajah mereka dengan senarai pantauan yang telah diluluskan terlebih dahulu, menjana amaran jika persamaan dikesan.

    Pejuang kebebasan awam telah mengkritik penggunaan teknologi sedemikian, dan kumpulan advokasi Big Brother Watch telah melancarkan tindakan undang-undang untuk menghentikan pengembangannya.

    “Teknologi ini berfungsi dengan mencipta faceprint setiap orang yang lalu di hadapan kamera – memproses data biometrik sesensitif cap jari, selalunya tanpa pengetahuan atau persetujuan kami,” kata kumpulan itu di laman webnya.

    “Pemantauan autoritarian yang berbahaya ini adalah ancaman kepada privasi dan kebebasan kami – ia tidak mempunyai tempat di jalan raya Britain,” tambahnya.

    Manakala, Pasukan Polis Metropolitan London, Met, berkata, “Ia adalah yang pertama menggunakan teknologi itu, sambil menambah bahawa ia menjadikan London lebih selamat dengan membantu mengesan pesalah yang menimbulkan risiko besar kepada masyarakat kami.”

    Daripada 540 tangkapan, lebih 50 merupakan kesalahan serius melibatkan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, termasuk kesalahan seperti mencekik, mengintai, penderaan rumah tangga dan rogol.

    Lebih 400 daripada mereka yang ditangkap telah pun didakwa atau diberi amaran.

    “Teknologi ini membantu kami melindungi masyarakat daripada bahaya,” kata Pengarah Prestasi Met, Lindsey Chiswick.

    “Ia adalah alat berkuasa yang menyokong pegawai untuk mengenal pasti dan memberi tumpuan kepada orang yang mempunyai risiko tertinggi yang mungkin tidak dapat dikesan,” tambahnya. – AFP

    Pasukan Polis Metropolitan London menggunakan teknologi pengecaman muka pada 6 Disember. – AFP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda