Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Dalam memberi galakkan kepada murid-murid Sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) untuk kekal sihat, Sekolah PGGMB Sungai Akar telah menganjurkan acara Walkaton 2023 yang disertai lebih 500 orang, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman yang seterusnya melancarkan aca-ra yang diadakan di Taman Rekreasi Jalan Menteri Besar, Berakas.
Terdahulu acara pelancaran walkaton, pengerusi acara, Haji Ali@Mustapa bin Haji Talip dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan acara bertujuan untuk membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga PGGMB melalui aktiviti bersukan dan beriadah secara beramai-ramai.
Selain itu, ia juga untuk mengumpul dana kewangan sekolah bagi keperluan pelbagai aktiviti sekolah dan kemudahan alat-alat bantu mengajar dan dengan adanya aktiviti seumpama ini, ia akan dapat mengukuhkan lagi silaturahim dalam kalangan guru, kakitangan sekolah dan juga ibu bapa pelajar.
Sebelum acara pelepasan, semua peserta menyertai sesi memanaskan badan yang dipimpin oleh guru Sekolah PGGMB Sungai Akar, Dayang Norezan binti Jairi.
Peserta walkaton berjalan sejauh 1.5 kilometer dan acara dimeriahkan dengan aktiviti cabutan bertuah.



