Friday, January 17, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 5,000 orang terbunuh di Haiti akibat serangan kumpulan samseng

    HAITI, 8 JAN – Lebih daripada 5,600 orang dilaporkan terbunuh di Haiti tahun lalu ketika misi yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai oleh Kenya menghadapi kesukaran untuk mengawal keganasan kumpulan samseng yang berleluasa, kata pegawai kelmarin.

    Jumlah pembunuhan meningkat lebih daripada 20 peratus berbanding keseluruhan tahun 2023, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB. Selain itu, lebih daripada 2,200 orang dilaporkan cedera dan hampir 1,500 orang diculik, tambah laporan itu.

    “Angka-angka ini sahaja tidak mampu me-ngunkapkan kengerian yang sedang berlaku di Haiti, tetapi ia menunjukkan keganasan tanpa henti yang dihadapi oleh rakyat,” kata Volker Turk, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, dalam satu kenyataan.

    Antara mangsa termasuk dua wartawan dan seorang pegawai polis yang terbunuh apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang berkumpul pada Malam Krismas untuk menyaksikan pembukaan semula hospital awam terbesar di Haiti, yang terpaksa ditutup oleh kumpulan bersenjata awal tahun ini.

    Secara keseluruhan, keganasan kumpulan bersenjata telah menyebabkan lebih 700,000 penduduk Haiti kehilangan tempat tinggal dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan ramai yang terpaksa bersesak di tempat perlindungan sementara yang tidak bersih selepas rumah mereka dibakar oleh lelaki bersenjata.

    “Saya melihat ahli keluarga saya dibunuh, dan tiada apa yang dapat saya lakukan untuk menyelamatkan mereka,” kenang Garry Joseph, 55, yang kini tinggal di sebuah pejabat kerajaan yang terbiar bersama ratusan orang lain yang melarikan diri dari kawasan kejiranan mereka. “Semua orang lari menyelamatkan diri pada malam kami terpaksa meninggalkan rumah.” – AP

    Wartawan yang cedera duduk selepas ditembak oleh kumpulan bersenjata di Hospital Besar di Port-au-Prince, Haiti pada 24 Disember lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda