Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 500,000 permohonan suaka di EU

    ROM, 16 SEPT – Jumlah pencari suaka di Kesatuan Eropah (EU), Norway dan Switzerland menurun sedikit pada separuh pertama tahun ini tetapi masih melebihi setengah juta, lapor agensi berita Jerman, dpa, berdasarkan angka rasmi, hari ini.

    Dari Januari hingga akhir Jun, Agensi Kesatuan Eropah bagi Suaka (EUAA) yang berpangkalan di Malta mencatatkan sejumlah 513,000 permohonan baharu, penurunan kecil sebanyak 6,000 berbanding separuh pertama 2023.

    Statistik itu merangkumi angka dari semua negara EU serta Norway dan Switzerland, yang bukan sebahagian daripada kesatuan itu.

    Permohonan paling banyak dalam kalangan 29 negara itu sekali lagi didaftarkan di Jerman iaitu 124,000, atau hampir satu perempat daripada jumlah keseluruhan.

    Di seluruh rantau ini, agensi itu menjangkakan lebih daripada satu juta permohonan menjelang akhir tahun ini.

    Gambar Freepik

    Kira-kira 71,000 pencari suaka berasal dari Syria yang dilanda peperangan, meningkat tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya. Diikuti 45,000 warga Afghanistan yang memohon suaka, menandakan penurunan sebanyak 18 peratus.

    Dari Venezuela, 37,000 orang memohon suaka, hampir semuanya di Sepanyol.

    Kira-kira 4.5 juta orang dari Ukraine yang telah mencari perlindungan di EU dan menerima perlindungan sementara sejak pencerobohan Rusia pada Februari 2022, tidak termasuk dalam perangkaan ini.

    Dalam perbandingan seluruh EU, Sepanyol menduduki tempat kedua dari segi angka mutlak pada separuh pertama tahun ini dengan 88,000 permohonan, hampir sama dengan tahun lepas. Itali pula di tempat ketiga dengan 85,000 permohonan, meningkat kira-kira satu pertiga.

    Dari segi per kapita, negara kecil Cyprus mencatatkan permohonan paling banyak dengan 4,900.

    Angka dari United Kingdom, yang bukan lagi sebahagian daripada EU, tidak termasuk dalam statistik ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda