Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 54,600 kanak-kanak Gaza derita kurangan zat makanan akut

    TEL AVIV, 9 OKT – Lebih 54,600 kanak-kanak di Gaza dilaporkan menderita kekurangan zat makanan akut, menurut anggaran kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Dari Januari 2024 hingga pertengahan Ogos 2025, petugas kesihatan  Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) telah memeriksa hampir 220,000 kanak-kanak bagi mengesan kekurangan zat makanan.

    Kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet itu menganggarkan lebih 54,600 kanak-kanak di Gaza mengalami kekurangan zat makanan akut, termasuk lebih 12,800 kes yang teruk.

    Pengarah Jabatan Kesihatan UNRWA merangkap penulis utama kajian itu, Akihiro Seita, berkata sejak 7 Oktober 2023, infrastruktur Gaza telah musnah, penduduknya berulang kali dipindahkan dan bantuan kemanusiaan sangat terhad.

    “Puluhan ribu kanak-kanak kecil di Semenanjung Gaza sedang menderita akibat kekurangan zat makanan, penyakit dan peningkatan risiko kematian yang sebenarnya boleh dicegah, berpunca daripada serangan yang berterusan,” katanya. “Tanpa gencatan senjata dan keamanan yang berkekalan, penderitaan manusia ini akan berterusan.”

    Sepanjang tempoh pemantauan selama 20 bulan itu, penghantaran makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan ke Semenanjung Gaza berada di bawah paras sebelum konflik disebabkan sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel terhadap kemasukan bantuan, menurut UNRWA.

    Apabila bekalan lebih mudah diperoleh, peratusan kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut adalah sekitar enam peratus. Kadar itu melonjak kepada 14 peratus pada Januari 2025 berikutan sekatan bantuan selama empat bulan.

    Gencatan senjata selama enam minggu menyaksikan kadar itu menurun semula kepada enam peratus menjelang Mac 2025, menurut kajian itu.

    Bagaimanapun, kadar kekurangan zat makanan akut melonjak semula baru-baru ini, mencecah hampir 16 peratus pada pertengahan Ogos.

    UNRWA menjelaskan bahawa susut badan atau kekurangan zat makanan akut ialah keadaan yang mengancam nyawa, ditakrifkan apabila seorang kanak-kanak terlalu kurus berbanding ketinggiannya, menunjukkan kehilangan berat badan secara mendadak serta kekurangan tenaga, protein dan nutrien penting lain. – Bernama/dpa

    Kanak-kanak Palestin mencari kayu api dan plastik di tapak pelupusan sampah di kem Khan Younis, Gaza pada 30 September. Kanak-kanak Gaza kekurangan zat. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda