KUCHING, 29 OKT – Seramai 55,017 penduduk di Sarawak telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19 setakat semalam, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Sarawak Dr Rosemawati Ariffin.
Beliau berkata vaksin itu diberikan secara percuma di klinik dan hospital swasta, klinik kesihatan, pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan secara bergerak.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin menyeru mereka yang layak dan telah menerima janji temu melalui MySejahtera supaya hadir di mana-mana fasiliti kesihatan yang ditetapkan untuk mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Rosemawati berkata vaksin Pfizer BioNTech telah diberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak tersebut dan mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Pfizer dibenarkan mendapat dos penggalak itu setelah melepasi enam bulan dari tarikh dos kedua.
“Penerima vaksin Sinovac dos pertama dan dos kedua dibenarkan menerima dos penggalak setelah melepasi tiga bulan dari tarikh dos kedua. Sekiranya belum, orang ramai boleh menghubungi fasiliti kesihatan yang terlibat untuk mendapatkan janji temu,” katanya. – Bernama