TOKYO, 7 MEI – Kira-kira 62.1 peratus syarikat di Jepun sama ada telah menaikkan atau merancang untuk menaikkan gaji asas pada tahun fiskal 2023 (April 2023 hingga Mac 2024), satu tinjauan kementerian kewangan baru-baru ini menunjukkan.
Bacaan itu menandakan peningkatan mendadak daripada 38.7 peratus pada tahun sebelumnya apabila perusahaan tempatan mengambil tindakan untuk mengekalkan bakat dan menandingi harga yang melonjak, menurut laporan media tempatan hari ini.
Sektor bukan perkilangan melaporkan trend paling ketara bagi tahun fiskal bermula 1 April, di mana 56 peratus responden berkata mereka telah atau akan menaikkan gaji, peningkatan ketara daripada 28.8 peratus tahun sebelumnya.
Dalam sektor pembuatan, angka itu mencapai 69.8 peratus, meningkat daripada 52 peratus setahun lalu, tinjauan itu menunjukkan.
Daripada perniagaan yang telah menaikkan gaji asas atau merancang untuk berbuat demikian, syarikat yang mencatatkan kenaikan tidak kurang daripada 3 peratus telah meningkat lebih dua kali ganda daripada tahun sebelumnya kepada 37.3 peratus.
Menurut kaji selidik itu, sebab utama untuk menaikkan gaji adalah untuk menghalang kakitangan daripada keluar dengan terus memotivasikan pekerja dan memperbaiki keadaan buruh, dan juga untuk bertindak balas terhadap kenaikan harga komoditi.
“Pada masa semakin sedikit orang yang berusaha untuk bekerja dalam bidang jualan dan perkhidmatan pelanggan, kami tidak boleh memperoleh bakat melainkan kami memperbaiki keadaan buruh,” kata seorang peruncit bersaiz sederhana di barat Jepun dipetik sebagai berkata oleh agensi berita nasional Kyodo.
Syarikat-syarikat Jepun telah ditekan untuk memperbaiki keadaan pekerja bagi memperoleh bakat global, dengan gaji di Jepun kekal rendah berbanding negara maju lain, laporan media tempatan menunjukkan.
Tinjauan itu menyasarkan sekitar 1,200 syarikat, termasuk kira-kira 500 syarikat besar dan 700 firma kecil dan sederhana, dari pertengahan Mac hingga pertengahan April. – Xinhua