Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BELAIT, 12 JULAI – Seramai 643 orang pekerja asing telah diperiksa dalam operasi sepadu yang dijalankan oleh empat agensi penguatkuasaan undang-undang yang dikendalikan bersama oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Operasi yang diketuai oleh Penolong Pegawai Jenayah Daerah Polis Belait, Penolong Penguasa Polis Dennie Adli bin Haji Sulaiman itu melibatkan seramai 98 orang anggota penguat kuasa termasuk keanggotaan Balai Polis Sungai Liang PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) serta Biro Kawalan Narkotik (BKN) dengan menyasarkan rumah pekerja asing di Lilama SEA Quarters, Sungai Liang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, semasa pemeriksaan mengejut itu, beberapa kesalahan telah ditemukan termasuk di bawah JIPK di mana lima orang (dua warga India dan tiga warga Bangladesh) dikeluarkan pas khas.
Di bawah JKED, seramai 12 orang pekerja asing dikenakan kompaun atas kesalahan di bawah Seksyen 146 (1)(d) Perintah Eksais 2006 hasil daripada penemuan barang tegahan iaitu rokok. Manakala itu, di bawah BKN, seorang warga Vietnam ditahan bagi menjalani siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (B) dan Seksyen 7 MDA Penggal 27.
Kenyataan menyatakan, agensi penguatkuasaan undang-undang akan sentiasa komited dan berterusan dalam menegakkan perundangan negara ini untuk memastikan Negara Brunei Darussalam sentiasa bersih daripada segala anasir negatif yang menyumbang kepada kejadian-kejadian jenayah.
Orang ramai juga diseru untuk sentiasa memberikan kerjasama yang padu dalam penyaluran dan perkongsian maklumat melalui talian-talian kecemasan pihak-pihak penguatkuasaan undang-undang di negara ini.


