Lebih 600 pelajar sertai Rentas Desa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Lebih 600 pelajar Tahun 3 hingga Tahun 6, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), menyertai acara Rentas Desa antara pasukan rumah sekolah berkenaan kelmarin.

Turut menyertai dalam acara rentas desa tersebut adalah cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah.

Pelepasan peserta larian yang dibahagikan kepada dua kumpulan itu dilancarkan oleh Pemangku Pengetua Sekolah Rendah YSHHB, Awang Abdul Samat bin Banin, bermula di perkarangan utama sekolah berkenaan.

Pelepasan peserta dimulakan dengan Kumpulan B bagi pelajar Tahun 3 dan 4 diikuti dengan pelepasan peserta bagi Kumpulan C bagi pelajar Tahun 5 dan 6.

Sementara itu, Kid Athletic bagi pelajar tahun 1 dan 2 sekolah berkenaan juga diadakan di kawasan sekolah lain.

Rentas desa ini merupakan aktiviti tahunan sekolah dalam usaha membudayakan warga sekolah ke arah kehidupan sihat, cergas dan aktif di samping mengeratkan hubungan sosial dengan kawan-kawan, guru dan kakitangan sekolah.

Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah antara yang menyertai acara Rentas Desa sekolah berkenaan.