Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Sebagai salah satu usaha untuk memohon perlindungan agar Negara Brunei Darussalam terhindar daripada wabak koronavirus, lebih 600 orang telah menyertai Program Munajat yang dianjurkan secara maya. Program tersebut merupakan anjuran oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah kemudian diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Kahfi, selawat Munjiyat, Zikir Istighfar dan Zikir.
Taubat yang dipimpin oleh Pegawai unit Kerohanian, Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB, Awang Ali Omar Saifuddien bin Haji Ali Amat.
Seterusnya, bacaan doa memohon agar terhindar daripada wabak COVID-19 dan Doa Peliharakan Sultan dipimpin oleh Raes KUPU SB.
Semasa majlis tersebut, Raes KUPU SB berkesempatan memberikan ucapan dan berharap warga KUPU SB akan sentiasa melazimkan diri dengan berzikir dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, selain untuk selalu bersyukur dan bersabar agar mendapat taufik daripada Allah SWT.
Beliau juga mengingatkan agar warga KUPU SB agar sentiasa menjalankan tanggungjawab dalam menyebarkan ajaran agama Islam dan sunnah-sunnah Rasulullah SAW.
Majlis diakhiri dengan bacaan Surah al-Ash beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Kegiatan Luar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB, Ampuan Muhammad Fuad bin Ampuan Babba. Majlis khas sini dihadiri oleh pegawai-pegawai utama, pensyarah, kakitangan dan mahasiswa-mahasiswi KUPU SB.
