Monday, September 30, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 600 sertai Sukan Ria PGGMB

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Lebih 600 orang murid dan guru daripada empat buah sekolah Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) telah menyertai pesta Sukan Ria di Kompleks Sukan Berakas baru-baru ini.

    Pesta berkenaan telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dr Awang Haji Mahali bin Haji Momin selaku tetamu kehormat majlis.

    Turut menyertai acara itu adalah penuntut daripada Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA) seramai 60 orang dan Yang Dipertua PGGMB, Haji Awang Abd Alim bin Haji Awang Othman, dan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB

    Terdahulu, Guru Besar sekolah, Haji Roslan bin Haji Md Hassan dalam ucapan alu-aluannya menyatakan penyertaan aktif semua murid dengan semangat kesukanan untuk meningkatkan kebolehan masing-masing dalam bidang sukan dan riadah bermula daripada peringkat umur rendah.

    Katanya lagi, “peluang ini dapat mengisi masa lapang murid-murid sambil meningkatkan tahap kesihatan daripada segi mental dan fizikal. Selain itu, melalui sukan juga dapat mengeratkan lagi hubungan sekolah dengan ibu bapa dan keluarga murid-murid.”

    Sebanyak 10 acara sukan dan riadah dipertandingkan mengikut peringkat kelas bermula daripada Kelas PRA 1 hingga Tahun 6, yang mana acara tahun ini dianjurkan oleh Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak.

    Antara aktiviti-aktiviti yang menarik minat murid-murid ialah Memadamkan Huruf Besar Dan kecil Mengikut Warna, Mencari Kad Gambar Berpandukan Kad Ejaan, Mencari Kad Jawapan Yang Betul, Mengutip Gula-Gula Menggunakan Sudu dan Memasukkan Gula-Gula ke Dalam Botol.

    Semua aktiviti memerlukan kecekapan dan kepantasan murid-murid berlari, manakala kategori VIP yang dipertandingkan ialah Dart Board Target Game dan Lava Walk yang disertai sama oleh guru-guru besar sekolah.

    Suasana semasa acara berkenaan.
    Yang Berhormat Dr Awang Haji Mahali merasmikan Sukan Ria berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PGGMB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda