Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 6,000 tentera AS sertai latihan ketenteraan

    CHON BURI, THAILAND, 3 MAC – Beribu-ribu anggota tentera Amerika Syarikat (AS) menyertai askar Thailand dan Korea Selatan di sebuah pantai di Thailand bagi mengadakan salah satu latihan ketenteraan tahunan terbesar di Asia.

    Latihan Cobra Gold menghimpunkan anggota tentera dari AS, Thailand dan beberapa buah negara untuk sama-sama menjalani latihan selama beberapa hari. Washington berusaha untuk mengukuhkan pakatan ketenteraannya di rantau itu.

    Tentera-tentera AS, Thailand dan Korea Selatan melancarkan operasi amfibia bersepadu berhampiran pangkalan laut di timur negara itu, di mana kedengaran bunyi jet pejuang dan kereta berperisai di kawasan pantai.

    Anggota-anggota dari Singapura, Indonesia, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun turut mengambil bahagian dalam latihan tersebut, yang merangkumi latihan udara, darat dan laut, serta kursus survival hutan.

    Dengan kira-kira 6,000 orang anggota, delegasi AS adalah empat kali lebih besar berbanding kontinjen yang dihantar pada tahun lalu.

    Bulan lalu, AS dan Filipina bersetuju untuk menyambung rondaan bersama di Laut China Selatan, dan memeterai perjanjian untuk membenarkan tentera AS untuk memasuki empat lagi pangkalan tentera di Filipina.

    Seoul dan Washington baru-baru ini meningkatkan latihan ketenteraan bersama susulan ujian senjata oleh Korea Utara, menimbulkan kemarahan Pyongyang, yang melihat latihan bersama itu sebagai latihan untuk pencerobohan.

    “Meskipun kami bercakap dalam bahasa yang berbeza, namun kami bersatu dengan matlamat yang sama iaitu untuk menjadikan Indo-Pasifik bebas dan terbuka, itulah matlamat utama Cobra Gold,” kata kapten tentera Marin AS, Jonathan Coronel kepada wartawan. – AFP

    Anggota tentera Korea Selatan berdiri di atas kereta berperisai selepas latihan Cobra Gold di Thailand, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda