PARIS, 23 SEPT – Lebih 60,000 orang maut akibat haba di Eropah semasa musim panas tahun lalu yang mencatat rekod, menurut satu kajian kelmarin, dalam amaran terbaharu mengenai impak besar perubahan iklim terhadap benua itu.
Dengan suhu Eropah meningkat dua kali lebih cepat daripada purata global, para penyelidik yang berpangkalan di Sepanyol mencadangkan sistem amaran kecemasan boleh membantu memberi peringatan awal kepada golongan berisiko, terutamanya warga emas sebelum gelombang haba yang berbahaya.
“Eropah mengalami musim panas yang luar biasa panas pada 2024 dengan lebih 60,000 kematian berkaitan haba, menjadikan jumlah keseluruhan tiga musim panas terakhir melebihi 181,000,” menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Medicine.
Penyelidik di Barcelona Institute for Global Health (ISGlobal) mencatat angka tersebut dengan menganalisis data kematian di 32 negara Eropah yang merangkumi populasi seramai 539 juta orang.
Jumlah kematian semasa musim panas tahun lalu yang merupakan musim paling panas dalam sejarah yang direkodkan untuk Eropah dan dunia telah dianggarkan sebanyak 62,775 orang.
Jumlah tersebut hampir 25 peratus lebih tinggi berbanding 50,798 yang dianggarkan bagi musim panas 2023, menurut angka yang disemak semula dalam kajian itu. Angka itu masih dianggap menurun jika dibandingkan dengan 2022, sebanyak 67,873.
Namun, adalah sukar untuk menentukan jumlah orang maut akibat suhu meningkat, kerana haba jarang dicatat sebagai punca kematian.
Selain kesan strok haba dan dehidrasi, cuaca panas turut menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan yang berpotensi membawa maut, termasuk serangan jantung, strok dan masalah pernafasan. – AFP


