NEW YORK, 8 MEI – Protes pro-Palestin tercetus di Universiti Columbia pada petang kelmarin dengan lebih 100 penunjuk perasaan mengadakan protes duduk di sebahagian ruang utama perpustakaan universiti, mengakibatkan kira-kira 75 individu ditahan, lapor Xinhua.
Ketegangan menjadi semakin teruk apabila pertempuran meletus antara penunjuk perasaan dan pegawai keselamatan universiti.Penunjuk perasaan ditolak ke arah pintu masuk perpustakaan dan dua pegawai keselamatan cedera dalam insiden itu.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan, termasuk ‘No cops. No KKK. No fascist USA’ dan ‘Free Palestine’.
Polis New York memasuki kampus utama Universiti Columbia atas permintaan pihak universiti sekitar 6 petang waktu tempatan dan melakukan tangkapan atas kesalahan menceroboh.
Ini merupakan protes terbesar di Universiti Columbia sejak demonstrasi pada April 2024 yang turut menyaksikan ramai individu ditahan.
Awal minggu ini, kakitangan dan pensyarah Universiti Columbia turut mengadakan mengadakan bantahan berhubung penahanan tiga pelajar antarabangsa oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat dan berikrar untuk meneruskan perhimpunan mingguan sehingga kesemua mereka dibebaskan.
Pihak berkuasa New York City turut bertindak balas, Datuk Bandar Eric Adams menyifatkan tindakan para penunjuk perasaan sebagai ‘tidak boleh diterima’.
Universiti Columbia telah menjadi pusat tunjuk perasaan pro-Palestin. Pada April 2024, protes besar-besaran di universiti itu menyebabkan lebih 100 individu ditahan. – Bernama
