Lebih 70% populasi dewasa di Bangkok lengkap vaksinasi

BANGKOK, 19 OKT – Lebih 70 peratus daripada hampir 7.7 juta populasi dewasa di Bangkok sudah lengkap vaksinasi COVID-19, menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) di sini, hari ini.

“Sejumlah 14,101,289 dos vaksin telah diberikan sejak program vaksinasi bermula Februari tahun ini. Sebanyak 8,132,826 dos pertama, 5,437,553 dos kedua dan 530,910 dos ketiga atau suntikan penggalak,” lapor The Nation memetik BMA.

Berdasarkan rekod pendaftaran sivil, terdapat 7,699,174 penduduk berumur 18 tahun ke atas di Bangkok.

Mulai 1 Nov, Bangkok dan 14 wilayah lain termasuk Krabi, Chiang Mai dan Chonburi dijadualkan menyambut ketibaan pelancong antarabangsa yang lengkap divaksin dari negara berisiko rendah.

Pada hari sama, Thailand bakal menamatkan syarat kuarantin bagi pengunjung lengkap vaksinasi COVID-19 yang masuk menggunakan perkhidmatan udara dari negara berisiko rendah termasuk United Kingdom (UK), Singapura, Jerman, China dan Amerika Syarikat untuk merancakkan kembali industri pelancongan. – Bernama

Seorang pekerja perubatan memberikan suntikan vaksin kepada seorang lelaki di sebuah pusat vaksinasi di wilayah Pattani, selatan Thailand pada 18 Oktober. – AFP