LOS ANGELES, 7 APRIL – Puluhan ribu salmon terancam yang sedang diangkut dengan trak ke sungai Amerika Syarikat (AS) dipercayai terselamat dalam kemalangan jalan raya dengan melepaskan diri ke anak sungai berhampiran, kata pegawai.
Sebuah kenderaan tangki besar yang mengangkut ikan salmon muda atau smolts sedang dalam perjalanan di kawasan pergunungan di negeri barat laut Oregon minggu lalu apabila tergelincir dan terbabas dari jalan raya.
Trak tangki sepanjang 53 kaki itu tergelincir dan terbalik di tempat kejadian, nasib baik kemalangan itu berlaku bersebelahan anak sungai kecil.
“Kira-kira 77,000 ekor smolts berjaya masuk ke dalam anak sungai apabila trak tangki itu terbalik,” kata Jabatan Ikan dan Hidupan Liar, Oregon, dalam satu kenyataan.
Pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan.
Walau bagaimanapun, kira-kira 25,000 smolts tidak begitu bernasib baik dalam kemalangan pada 29 Mac lalu. Ia gagal sampai ke sungai, dan bangkai ikan terpaksa diambil sama ada di dalam trak tangki atau di tebing sungai, kata jabatan itu.
Salmon Chinook diancam oleh kemarau selama beberapa puluh tahun yang mencengkam Barat Amerika, yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim.
Paras air sungai yang tinggi telah menurun, dan airnya menjadi lebih panas, manakala pembinaan empangan dan terusan juga telah membahayakan salmon. – AFP
