Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Seramai 79 pelajar program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama sesi pengajian 2017, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menyertai Program Kem Motivasi Kepimpinan Pelajar 2019 yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini.
Perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohammad Amirrizal bin pengiran Haji Mahmud selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Pusat Belia Bandar Seri Begawan.
Menurut kenyataan yang diberikan, kem motivasi berkenaan merupakan salah satu program kokurikulum di bawah program kokurikulum kepimpinan yang dikendalikan oleh Pusat Ilmu Teras KUPU SB dengan kerjasama KKBS.
Pengisian program berkenaan berhubung kait dengan teori praktikal, ceramah berkaitan kepimpinan, tazkirah, aktiviti pembangunan pasukan, aktiviti sukan dan khidmat masyarakat selain itu, para pelajar turut dilibatkan dengan program Masjidku Makmur, Negara Berkat.
Tema ‘Melahirkan Pendidik Profesional dan Berkepimpinan Melalui Program Kokurikulum’ antara lain bermatlamat untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran kepimpinan dengan hasrat agar para pelajar dapat mengetahui, memahami dan mengaplikasikan konsep-konsep serta teori-teori kepimpinan yang berasaskan prinsip-prinsip Islam mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).


Kem berkenaan bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai aspek teori dan amalan dari segi kepimpinan agar dapat melengkapkan pelajar untuk menjadi pemimpin serba boleh dan berwawasan.
Di samping itu, ia diadakan bagi membentuk sahsiah dan keperibadian pelajar yang mempunyai keseimbangan dari segi perkembangan intelek, perkembangan fizikal, emosi dan rohani selain diharapkan dapat memupuk daya kepimpinan dalam kalangan pelajar, membina keyakinan diri pelajar dan bertanggungjawab dalam aktiviti kemasyarakatan.
Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar dalam ucapannya antara lain menjelaskan mengenai enam aspek utama yang ditekankan pada kem berkenaan iaitu penghayatan nilai-nilai Islam, pengurusan organisasi, pengurusan kewangan, keusahawanan, kerja berpasukan dan ketahanan mental serta fizikal.
“Antara aktiviti yang telah disusun sepanjang kem ini diadakan ialah aktiviti keagamaan, team building, rock climbing, ceramah motivasi, sukan dan keusahawanan,” tambah Dr. Haji Noralizam lagi.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Pemangku Timbalan Ra’es, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha; Pemangku Penolong Ra’es KUPU SB, Dr Datin Haji Noor Hira binti Haji Noor Kaseh, para pegawai utama dan pensyarah serta kakitangan KUPU SB.