Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 11 Feb – Lebih 70 orang telah menyertai Kempen Kebersihan dan Kecantikan Taman Riadah Jubli Emas anjuran Kumpulan Syarikat Serikandi.
Kempen tersebut yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Srikandi, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad merupakan salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk sentiasa menjaga keadaan sekitar yang bersih dan sihat.
Hadir bersama menyertai kempen tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin.
Kempen yang dilakukan secara bergotong-royong bagi kerja-kerja memotong rumput dan membersihkan kawasan laluan tempat berlari dan juga mengutip serta mengumpulkan sampah telah melibatkan ahli-ahli Pro-Team X-25 Kuala Belait, warga Kumpulan Syarikat Serikandi dan kumpulan sukarelawan yang diketuai oleh Haji David bin Haji Kassim serta orang ramai.
Sehubungan dengan itu, kempen tersebut merupakan inisiatif ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut dengan hasrat aktiviti membersihkan kawasan diteruskan dengan riadah senaman bagi meningkatkan semangat sekali gus mengamalkan cara hidup yang sihat di kalangan masyarakat setempat.
Menurut Shaikh Khalid, dengan adanya kempen seperti itu taman berkenaan akan sentiasa kelihatan bersih dan terus menarik minat orang ramai untuk mengunjungi dan beliau berharap kepada mana-mana syarikat, individu dan juga ahli-ahli majlis perundingan mukim dan Kampung serta persatuan-persatuan untuk sentiasa sama-sama berganding bahu dalam inisiatif menjaga kebersihan dan keindahan taman-taman dan persekitaran di sini.