Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 28 Okt – Lebih 700 peserta telah menyertai acara berbasikal dan berjalan kaki ‘Cyc-Walk 2018’ bersempena memperingati Sambutan Ulang Tahun ke-20 Pembukaan Rasmi Perkhidmatan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Daerah Tutong yang berlangsung di kawasan letak kereta, Pusat Pengasingan Kebangsaan, hospital berkenaan, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif yang sekali gus menyertai sesi senamrobik dan aktiviti berjalan kaki sejauh empat kilometer.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong juga selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya dan Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah Ekspedisi Berbasikal sejauh 15 kilometer yang disertai oleh 20 orang peserta. Selain itu acara juga diserikan dengan aktiviti kutipan amal bagi Tabung Kebajikan Perubatan bagi pesakit-pesakit yang berdaftar di Bahagian Kebajikan Perubatan serta kutipan amal bagi tabung derma bagi menaiktarafkan Surau As-Salam Hospital PMMPMHAMB.
Di samping itu, penyampaian bagi cabutan bertuah, kanak-kanak aktif dan warga emas aktif juga merupakan antara aktiviti yang dimuatkan sepanjang berlangsungnya acara tersebut.
Adapun antara objektif acara yang bertema ‘Beriadah untuk Kesihatan’ itu diadakan adalah untuk mengeratkan perpaduan, silaturahim dan persaudaraan serta melahirkan warga yang bergiat aktif dalam aktiviti sukan sambil beriadah.
Di samping itu, ia juga bertujuan bagi memupuk semangat kesukanan dan mendisiplinkan diri iaitu dengan mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah serta berkebajikan.
