GAZA CITY / ISTANBUL, 15 JULAI – Sejak Oktober 2023, lebih 700 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan air, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan yang dipetik Anadolu Ajansi kelmarin.
“Israel terus melancarkan perang sistematik dan disengajakan melalui taktik kehausan terhadap rakyat Palestin di Gaza, satu pencabulan nyata terhadap semua konvensyen antarabangsa dan prinsip kemanusiaan,” menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza.
Pihak berkuasa Palestin menuduh tentera Israel menggunakan air sebagai senjata perang dengan tujuan menafikan hak asasi paling asas rakyat Palestin.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa tentera Israel melakukan 112 pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza ketika mereka cuba mendapatkan air, dengan lebih 700 orang terbunuh, majoritinya kanak-kanak.
Insiden terbaharu berlaku pada Ahad lalu apabila sekurang-kurangnya 12 penduduk Palestin, termasuk lapan kanak-kanak terbunuh ketika beratur mendapatkan air di Kem Pelarian Nuseirat, Gaza Tengah.
Pejabat media turut mendedahkan bahawa lebih 720 telaga air di Gaza dimusnahkan secara sengaja oleh tentera Israel, menyebabkan lebih 1.25 juta penduduk hilang akses kepada air bersih.
Selain itu, tentera Israel juga didakwa menghalang kemasukan 12 juta liter bahan api setiap bulan iaitu jumlah minimum yang diperlukan untuk mengoperasikan telaga air, stesen kumbahan, sistem pelupusan sisa dan sektor penting lain.
“Tindakan ini melumpuhkan sepenuhnya sistem bekalan air dan kumbahan, sekali gus menyebabkan penularan wabak penyakit, khususnya dalam kalangan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pihak berkuasa Gaza menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia bertindak segera bagi menghentikan penggunaan air sebagai senjata perang oleh Israel, serta membenarkan kemasukan bahan api dan peralatan yang diperlukan untuk membaik pulih telaga dan sistem saliran.
Sejak 2 Mac lalu, Israel terus menutup semua laluan keluar masuk ke Gaza termasuk bagi bantuan makanan, perubatan dan kemanusiaan, satu tindakan yang memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan menjejaskan kira-kira 2.4 juta penduduk wilayah itu. – Bernama/Anadolu
