Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Setakat 30 Ogos lalu, sebanyak 7,102 buah rumah telah menerima bungkusan makanan yang diagihkan kepada mereka yang menjalani Perintah Kuarantin (QO) seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.
Makanan yang dihantar ke rumah-rumah individu terbabit diedarkan menggunakan jentera kenderaan yang disediakan oleh pihak kerajaan iaitu terdiri daripada kenderaan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kementerian Hal Ehwal Agama, Kementerian Pendidikan, dan Jabatan Kerja Raya.
Pengagihan makanan tersebut adalah inisiatif kerajaan yang turut disokong oleh syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan bagi sama-sama membantu menangani gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini dan berfungsi untuk menjaga kesejahteraan individu yang menjalani Perintah Kuarantin dari segi penyediaan bekalan makanan.
Pusat Belia Bandar Seri Begawan serta beberapa lokasi lainnya di keempat-empat daerah seluruh negara telah digunakan sebagai tempat Pusat Pengagihan Makanan Kering bagi Mereka yang menjalani Perintah Kuarantin sejak 8 Ogos lalu.
Melihat usaha yang dilakukan wira-wira di sebalik tabir ini, pihak Media Permata serta para pengamal media tempatan berpeluang menyaksikan secara langsung aktiviti yang dijalankan di Pusat Belia Bandar Seri Begawan (BSB) bagi memastikan agihan makanan kering dapat disalurkan dengan lancar kepada para penerima.
Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sosial di KKBS, Haji Khairul Ariffin bin Haji Abdul Aji ketika ditemui di Pusat Belia BSB mengatakan bahawa pihak mereka bersama sukarelawan melakukan aktiviti pemunggahan dan penyusunan barangan makanan seawal 8 pagi bagi memastikan kelancaran penghantaran makanan dilakukan pada tempoh yang ditetapkan.
Ada kalanya, pihak mereka juga mengagihkan bekalan makanan kepada lebih 200 buah rumah dalam sehari ketika keadaan tegang dua minggu yang lalu, kongsinya, meskipun jumlah bilangan rumah yang diagihkan sentiasa berubah dari sehari ke sehari.
“Antara makanan yang diagihkan adalah berupa makanan asasi antaranya, beras, mi-nyak masak, makanan dalam tin, milo, telur, ubi dan lainnya,” kongsinya.
Beliau turut menyentuh mengenai kadar atau jumlah kuantiti makanan yang diagihkan kepada para penerima yang berlainan antara satu dengan yang lain itu adalah tertakluk kepada bilangan penghuni atau isi rumah di sesebuah kediaman tersebut dan tempoh kuarantin yang dikenakan ke atas mereka.