MEXICO CITY, 10 Okt – Gempa bumi sekuat 8.2 magnitud, yang mengorbankan nyawa 98 orang di selatan Mexico pada 7 September, mencetuskan lebih 7,000 gempa susulan pada hari Isnin, perkhidmatan seismologi Mexico SSN mengumumkan.
Laporan SSN mengatakan bahawa pada pukul 9:30 pagi Isnin, 7,036 gempa susulan telah dirasai dari pusat gempa di Lautan Pasifik di pantai tenggara Chiapas, Mexico.
Laporan SSN terdahulu menunjukkan dua gempa susulan terbesar mencapai magnitud 6.1, satu pada awal 8 September dan satu lagi pada pagi 23 September.
SSN dan Pusat Kebangsaan Pencegahan Bencana (Cenapred) telah menjelaskan bahawa beribu-ribu gempa bumi adalah disebabkan oleh penyesuaian semula plat tektonik Cocos akibat keretakan yang berlaku.
Lebih 100,000 bangunan telah mengalami kerosakan di 4,400 bandar di negeri selatan Oaxaca dan Chiapas, yang menyebabkan warga di negara itu tidur di luar rumah mereka akibat bimbang terjadinya gempa bumi.
SSN juga menyediakan maklumat terkini tentang gempa bumi berkekuatan 7.1 yang menggoncang pusat Mexico pada 19 September.
Ia mengorbankan 369 orang dengan hanya 39 gempa susulan.
Di Mexico City, di mana 228 orang maut dan 38 bangunan runtuh, 11 orang masih dirawat di hospital, dengan keadaan yang kritikal, kata Datuk Bandar Mexico City Miguel Angel Mancera pada hari Isnin.
Beliau menambah bahawa kakitangan perlindungan awam terus menilai sekitar 1,000 bangunan rosak untuk menganggarkan jika ianya masih sesuai digunakan. – Xinhua