Sunday, July 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 7,000 haiwan diseludup dalam penerbangan

    BANGKOK, 10 JUN – Penemuan ular berbisa dalam beg daftar masuk di sebuah penerbangan dari Thailand ke India menggambarkan trend penyeludupan hidupan liar yang ‘sangat membimbangkan’ akibat permintaan terhadap haiwan peliharaan eksotik, menurut kenyataan daripada sebuah NGO hari ini.

    Pegawai kastam India minggu lalu menahan seorang warganegara India selepas menemui berpuluh-puluh ekor ular dan beberapa ekor kura-kura dalam bagasi individu tersebut.

    Antara haiwan yang ditemui adalah beberapa ekor spider-tailed horned viper, spesies ular berbisa yang hanya dikenal pasti oleh saintis pada tahun 2006 dan diklasifikasikan sebagai ‘hampir terancam’ oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

    Menurut sebuah organisasi yang memerangi penyeludupan haiwan dan tumbuhan liar, Traffic, reptilia itu termasuk dalam lebih 7,000 haiwan hidup dan mati yang telah dirampas sepanjang laluan udara Thailand-India dalam tempoh tiga setengah tahun lalu.

    “Penemuan yang berlaku hampir setiap minggu serta kepelbagaian spesies hidupan liar yang menuju ke India adalah sangat membimbangkan,” kata Pengarah Penyeludupan Asia Tenggara, Kanitha Krishnasamy.

    Antara ular yang dirampas termasuk 44 ekor ular viper Indonesia yang telah disembunyikan dalam bagasi daftar masuk, pada 10 Jun. – ANN/The Star

    Ramai daripada haiwan yang dirampas masih hidup dan itu “menunjukkan permintaan terhadap haiwan peliharaan eksotik semakin meningkat dan memajukan perdagangan tersebut,” tambahnya.

    Menurut kumpulan itu lagi, analisis mereka menunjukkan, meskipun kebanyakan kes melibatkan haiwan yang diseludup keluar dari Thailand, lebih 80 peratus rampasan berlaku di India.

    Lebih satu pertiga daripada hidupan liar yang dirampas tertakluk kepada undang-undang yang melarang atau mengawal ketat perdagangan rentas sempadan antarabangsa, tambah Traffic.

    Mereka turut menggesa Thailand supaya bekerjasama dengan negara-negara jiran serantau yang turut mengalami laluan penyeludupan serupa ke India.

    Thailand dianggap sebagai hab transit utama bagi penyeludup hidupan liar, yang se-ring menjual haiwan terancam bernilai tinggi di pasaran gelap yang menguntungkan, terutama di China, Vietnam dan Taiwan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda