Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Lebih 7,000 tapak 5G siap dibangunkan

    KOTA KINABALU, 17 MEI – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata sebanyak 7,065 tapak 5G telah siap dibangunkan di seluruh Malaysia setakat April tahun ini.

    Beliau berkata dengan jumlah itu, ketersediaan rangkaian 5G telah mencapai 81.5 peratus liputan di kawasan berpenduduk manakala daripada sudut langganan pula, angka terkini mencatatkan sebanyak 11.9 juta langganan atau 35.4 peratus.

    “Pelaksanaan 5G yang pada asalnya dirancang bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2023-2025 telah diawalkan pada Fasa Satu iaitu penghujung 2021 dan kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2024 hari ini.

    Fahmi berkata liputan 5G di kawasan berpenduduk di Sabah pula telah mencapai 68.4 peratus setakat suku pertama tahun ini dengan sejumlah 545 daripada 595 tapak 5G yang dirancang telah berjaya disiapkan.

    Beliau berkata liputan 4G di kawasan berpenduduk pula telah diperluas hingga 96.92 peratus iaitu melepasi sasaran 96.9 peratus. 

    Fahmi berkata sebanyak 839 komuniti Orang Asli dan kawasan pedalaman mendapat perkhidmatan Akses Jalur Lebar Tanpa Wayar (BWA) melalui satelit di Sarawak, Sabah, perkampungan Orang Asli serta beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.

    Beliau turut memaklumkan bahawa di bawah JENDELA Fasa Satu, sebanyak 647 menara baharu telah diperuntuk kepada Sabah termasuk 398 yang sedang giat dilaksana dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...