Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 700,000 orang kehilangan tempat tinggal di Haiti

    GENEVA, 2 OKT – Lebih 700,000 orang kini kehilangan tempat tinggal mereka di Haiti, di mana lebih separuh daripadanya adalah kanak-kanak, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, ketika keganasan berkumpulan melanda negara itu.

    Salah satu negara termiskin di dunia telah terjerumus dalam anarki, dengan kumpulan samseng mengambil alih ibu negara, Port-au-Prince, dengan sistem keselamatan dan kesihatan telah runtuh.

    Agensi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi PBB berkata pada awal September, kira-kira 702,973 orang kehilangan tempat tinggal di negara Caribbean itu.

    “Angka terbaharu itu menunjukkan peningkatan sebanyak 22 peratus dalam jumlah pelarian yang dipindahkan secara dalaman sejak Jun, menonjolkan keadaan kemanusiaan yang semakin merosot,” kata IOM.

    Agensi itu menyeru pihak antarabangsa memberikan lebih tumpuan dalam krisis itu.

    “Peningkatan mendadak dalam perpindahan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk tindak balas kemanusiaan yang berterusan,” kata Gregoire Goodstein, ketua IOM di Haiti.

    “Kami menyeru masyarakat antarabangsa meningkatkan sokongan untuk penduduk Haiti yang dipindahkan dan komuniti tuan rumah yang terus menunjukkan ketahanan luar biasa ketika berdepan cabaran ini,” tambahnya.

    Laporan itu berkata kira-kira 75 peratus daripada mereka yang dipindahkan kini berlindung di wilayah negara itu. – AFP

    Orang ramai menunggu pengagihan makanan di Lycee Marie Jeanne di Port-au-Prince pada 30 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda