Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 700,000 terjejas akibat banjir di Sudan Selatan

    NAIROBI, 6 SEPT – Lebih daripada 700,000 orang telah terjejas oleh banjir di seluruh Sudan Selatan, kata agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sambil memberikan amaran bahawa jumlah yang terjejas sedang meningkat setiap hari.

    “Banjir telah menyebabkan kerosakan besar kepada rumah, tanam-tanaman dan infrastruktur penting, menjejas perkhidmatan pendidikan dan kesihatan serta meningkatkan risiko wabak penyakit,” kata agensi kemanusiaan PBB, OCHA dalam laporan situasi kelmarin.

    Agensi tersebut menyatakan bahawa setakat 5 September ‘banjir telah menjejaskan lebih 710,000 orang di 30 daripada 78 daerah.’

    Sejak mencapai kemerdekaan pada 2011, negara terbaharu di dunia itu terus dibelenggu ketidakstabilan dan keganasan, walaupun memiliki rizab minyak yang kaya.

    Agensi bantuan telah mengeluarkan amaran bahawa negara itu sedang menghadapi banjir terburuk dalam beberapa dekad dan OCHA menyatakan bahawa bantuan gagal sampai kepada ramai yang memerlukannya.

    “Akses kekal sebagai halangan kritikal, kerana banyak jalan raya kini tidak dapat dilalui dan air banjir telah memutuskan seluruh komuniti,” kata OCHA.

    Dibelenggu oleh pemimpin yang bermusuhan dan ketidakstabilan kronik, kira-kira 400,000 orang terkorban dan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal dalam perang saudara antara tahun 2013 dan 2018.

    Presiden Salva Kiir dan pesaingnya, Riek Machar menandatangani perjanjian damai pada 2018 dan membentuk kerajaan perpaduan.

    Namun, sejak itu negara tersebut telah bergelut dengan bencana alam semula jadi, kelaparan, keganasan dan persaingan politik dalaman berterusan yang telah berulang kali menangguhkan pilihan raya yang dijanjikan. – AFP

    Orang ramai menggunakan bot di kawasan yang ditenggelami air di Tokar di Negeri Laut Merah di timur Sudan pada 5 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda