Saturday, December 28, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 76 juta orang berpindah akibat keganasan

    GENEVA, 14 MEI – Konflik dan bencana alam telah menyebabkan hampir 76 juta orang terpaksa berpindah dari negara mereka tahun lalu, dengan keganasan di Sudan, Congo dan Timur Tengah mendorong dua pertiga pergerakan baharu, kata kumpulan pemantau penghijrahan tertinggi hari ini.

    Laporan Pusat Pemantauan Anjakan Dalaman mendapati bahawa bilangan orang yang terpaksa berpindah dalam negara atau IDP, telah melonjak sebanyak 50 peratus dalam tempoh lima tahun yang lalu dan kira-kira dua kali ganda dalam sedekad yang lalu. Ia tidak meliputi pelarian iaitu orang yang terpaksa berpindah dan melarikan diri ke negara lain.

    Laporan itu menjejaki dua set maklumat utama. Ia merekodkan 46.9 juta pergerakan fizikal orang pada 2023, kadangkala lebih daripada sekali. Dalam kebanyakan kes, seperti selepas bencana alam seperti banjir, orang ramai akhirnya pulang ke rumah.

    Ia juga mengumpulkan jumlah kumulatif orang yang tinggal jauh dari rumah mereka pada tahun 2023, termasuk mereka yang masih berpindah dari tahun-tahun sebelumnya. Kira-kira 75.9 juta orang hidup dalam perpindahan dalaman pada akhir tahun lalu, dengan separuh daripada mereka berada di negara-negara Afrika sub-Sahara, kata laporan itu.

    Hampir 90 peratus daripada jumlah perpindahan itu disebabkan oleh konflik dan keganasan, manakala kira-kira 10 peratus berpunca daripada kesan bencana alam.

    Perpindahan lebih sembilan juta orang di Sudan pada penghujung 2023 merupakan rekod bagi sebuah negara sejak pusat itu mula menjejaki angka sedemikian 16 tahun lalu.

    Kumpulan itu melaporkan jumlah pergerakan sebanyak 3.4 juta di seluruh Gaza pada suku terakhir 2023 semasa tindak balas tentera Israel terhadap serangan 7 Oktober di Israel. – AP

    Kanak-kanak Sudan yang mengalami kekurangan zat makanan dirawat di klinik MSF di Kem Metche, Chad, berhampiran sempadan Sudan, pada 6 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda