Monday, July 21, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 79 sertai konvoi motosikal sempena Hari Keputeraan

    Oleh Yusrin Junaidi

    TUTONG, 21 JULAI – Lebih 79 penunggang motosikal dari pelbagai latar belakang menyertai konvoi istimewa NNLR Ride of Honour: Menjunjung Kasih yang dianjurkan oleh Kelab Motosikal Not Necessarily Loud Riders (NNLR) malam kelmarin.

    Konvoi tersebut diadakan sebagai tanda kasih dan penghargaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79.

    Konvoi sejauh 79 kilometer itu bermula dari kawasan Mercu Tanda Kenangan, Daerah Tutong menuju ke ibu negara dengan membawa simbolik ulang tahun keputeraan Baginda dan mencerminkan semangat kesetiaan rakyat terhadap raja yang dikasihi.

    Acara dimulakan seawal jam 7 malam dengan ketibaan para peserta, sebelum disusuli dengan kehadiran tetamu kehormat, Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Tutong, Haji Mohammad Reizal bin Mohammad Ali.

    Majlis rasmi dimulakan dengan lagu kebangsaan Allah Pelihara Sultan, taklimat keselamatan serta laluan konvoi, bacaan doa selamat dan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

    Para peserta juga berpeluang beramah mesra dan memperkenalkan diri kepada beliau sebelum menikmati jamuan ringkas.

    Pelancaran rasmi konvoi telah disempurnakan oleh Haji Mohammad Reizal pada jam 8:50 malam menandakan bermulanya perjalanan bersejarah yang dipenuhi semangat patriotik dan kasih terhadap institusi diraja.

    Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada presiden serta ahli Kelab NNLR atas usaha dan dedikasi menganjurkan program bermakna itu.

    “Saya amat berbesar hati bukan sahaja diundang sebagai tetamu kehormat tetapi juga diberi peluang untuk turut serta bersama para penunggang tegar dan bersemangat dalam menjayakan perjalanan sejauh 79 kilometer – satu simbolik kepada penghormatan kita semua terhadap Kebawah Duli yang dikasihi,” ujar beliau.

    Beliau turut menekankan, konvoi seperti ini bukan sekadar aktiviti riadah bermotosikal, malah membawa mesej semangat perpaduan, disiplin dan keselamatan jalan raya, di samping mengukuhkan jalinan muhibah antara komuniti permotoran di negara ini.

    Acara kemuncak tersebut ditutup dengan doa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan berpanjangan serta terus memayungi negara dan rakyat dengan penuh hikmah dan keadilan.

    Gambar ramai Haji Mohammad Reizal bersama Kelab Motosikal NNLR semasa acara berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda