Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 80 pesara PDB dirai

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Seramai 84 orang anggota pangkat rendah Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) yang bersara bagi tahun 2017 telah diraikan pada majlis yang diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Anak-Anak Polis bagi Tahun 2017 dan Majlis penyampaian Cek Insuran Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok kepada ahli-ahli waris, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Stadium Hassanal Bolkiah Polis Gadong itu ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam dan datin.

    Pada majlis itu, seramai 55 orang pelajar menerima hadiah pelajar cemerlang bagi anak-anak polis PDB. Pelajar-pelajar yang diraikan merupakan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Peringkat ‘A’/ S.T.P.U.B, Peringkat ‘O’, Penilaian Sekolah Rendah dan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama.

    Manakala itu, seramai 35 orang daripada tujuh buah keluarga terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak anggota polis menerima Insurans Skim Takaful Kemalangan Diri berkelompok PDB.

    Ini merupakan usaha berterusan PDB yang sentiasa mengambil perhatian sebaiknya akan kesejahteraan kebajikan warga pasukan, membantu meringankan beban dan menghulurkan bantuan kepada keluarga warga pasukan seperti mendapat musibah semasa berada dalam perkhidmatan dan sebagainya.

    Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy ketika menyampaikan cenderahati kepada salah seorang pesara. – Gambar oleh Rahwani Zahari

    Pengerusi majlis, Penguasa Kanan Polis Haji Zaini bin Haji Abd Rahim dalam ucapannya berkata, majlis tiga dalam satu berkenaan merupakan acara atau aktiviti tahunan yang dikendalikan di peringkat ibu pejabat yang bertujuan agar sama-sama berpeluang berjumpa antara satu dengan yang lain di samping bertukar-tukar pandangan, beramah mesra dan yang paling penting tali silaturahim yang tidak putus meskipun ada di antara mereka sedang bercuti.

    Menyentuh mengenai majlis meraikan pelajar-pelajar cemerlang yang terdiri daripada anak-anak anggota PDB, beliau berkata, jumlah pelajar telah meningkat berbanding tahun lepas.

    “Ini adalah pencapaian yang boleh dibanggakan oleh kedua ibu bapa dan pasukan kerana telah berjaya mendidik anak-anak mereka ke arah kecemerlangan dalam pelajaran yang akan memandu mereka ke peringkat atau tingkatan seterusnya.

    “Di samping kita menyahut cabaran Negara Brunei Darussalam agar mendidik anak-anak watan menjadi cemerlang dan berjaya dengan berkelulusan tinggi seperti yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, demi menuju ke arah wawasan negara 2035 yang menjadikan negara ini dihuni oleh para cendekiawan, inovatif dan berpendidikan serta berkemahiran,” tambahnya.

    Sementara itu, kepada keluarga anggota yang telah kehilangan orang-orang yang tersayang, beliau berkata, PDB telah dapat menyampaikan amanah kepada ahli-ahli waris dan anak-anak yatim berkenaan di mana titik permulaan adalah di atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 18 Januari 2016 bagi Skim Perlindungan Takaful Insuran Berkelompok.

    Ini bertujuan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan pegawai, anggota pangkat rendah dan kakitangan awam dan keluarga mereka akan sentiasa di perhatian dan terpelihara jika berlaku sebarang musibah atau kematian kepada anggota polis atau kakitangan awam semasa dalam perkhidmatan.

    Jelasnya, untuk melaksanakan perlindungan insurans berkelompok itu, pihak PDB telah mendapatkan peruntukan secara berulang-ulang di bawah biayaan kerajaan.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali dan datin berserta para pengarah dan timbalan pengarah, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua Fomasi, para pegawai kanan, pegawai dan anggota berpangkat rendah PDB serta para jemputan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda