Tuesday, September 24, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 80 sertai lumba bot RC

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 23 SEPT – Lebih 80 peserta bot kawalan radio (RC) terbaik dari dalam dan luar negara bersaing dalam Pertandingan Terbuka Lumba Bot RC Belait yang berlangsung di Taman Rekreasi Jubli Anduki, kelmarin.

    Acara yang dianjurkan oleh Pasukan Bot Kawalan Radio Belait (BRCB) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Panaga A itu dibahagikan kepada tujuh kategori, masing-masing memfokuskan kepada kelas bot RC tertentu, yang berbeza dari segi bentuk dan juga kuasa enjin.

    Sementara itu, antara kelas yang turut dipertandingkan ialah Kelas A, Tunnel/Catamaran Hull dan CC terbuka; Kelas B, Tunnel/Catamaran 43CC ke bawah, Kelas D, V-Shape/Mono Hull dan 43CC ke atas, Kelas E, V-Shape/Mono Hull bawah 26CC; Kelas F, Tunnel/Catamaran Hull bawah 26CC; dan Kelas G, V-Shape/Mono Hull 29CC hingga 32CC sahaja.

    Bercakap kepada pengerusi penganjur pertandingan, Awang Muhd ​​Nurzairie bin Abdullah menjelaskan setiap kelas bot mewakili set kemahiran berbeza yang diperlukan untuk melengkapkan perlumbaan.

    Beliau juga menyatakan pertandingan itu dianjurkan setiap tahun bagi memperingati sambutan ulang tahun keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Kelihatan bot-bot lumba kawalan radio (RC) bersaing sengit semasa Pertandingan Terbuka Lumba Bot RC di Taman Rekreasi Jubli Anduki, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Gambar ramai kumpulan pemenang bersama tetamu jemputan pada akhir pertandingan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Antara bot RC berlumba merentasi tasik semasa pertandingan tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    “Menurut senarai kelas, setiap kelas menunjukkan peningkatan dalam kelajuan yang memerlukan peserta berada pada tahap terbaik semasa mengharungi trek mencabar merentasi tasik Anduki ditambah lagi dengan keadaan angin kencang yang mengakibatkan lebih banyak ombak di mana ia boleh memberikan kesan kepada prestasi bot di atas air,” tambahnya.

    Pada sebelah pagi para peserta yang mengambil bahagian bertanding dalam tiga saringan mengikut kategori masing-masing di mana pasukan teratas akan mara ke peringkat akhir yang diadakan lewat petang.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan hadiah kepada para pemenang ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman.

    Pada acara itu, Awang Mohammad Faiz bin Morni dari BRCB telah meraih empat podium dalam empat kategori, termasuk tempat pertama dalam Kelas A dan D, tempat ketiga dalam Kelas F, dan tempat kedua dalam Kelas G.

    Pemenang lain termasuk sekumpulan peserta dari TJRCD iaitu Kee Gan Kheo, Awang Muhyiddin Mu’iz bin Muslim, Awang Salman bin Nilau, dan Awang Kamal bin Haji Nayan, di mana masing-masing mendapat tempat pertama untuk Kelas E, F, G dan H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda