BEIJING, 27 NOV – Pembuat kereta elektrik Amerika Syarikat (AS), Tesla menarik balik sejumlah 870 kenderaan di China selepas mendapat laporan berkaitan bumbung kenderaan yang rosak, kata pengendali pasaran China hari ini.
Pengumuman itu dibuat hanya sebulan selepas penarikan balik hampir 30,000 kereta yang diimport ke China – pasaran automotif terbesar di dunia – selepas berlakunya kerosakan.
Pentadbiran Negeri China untuk Peraturan Pasaran hari ini berkata penarikan tersebut melibatkan kereta Model X yang dihasilkan antara 16 Mac dan 31 Julai pada tahun 2016.
Bahagian-bahagian dari atap kenderaan mungkin akan mengalami kerosakan berikutan dengan kesilapan teknikal, kata pengendali dalam satu kenyataan.
“Sekiranya kerosakan itu berlaku semasa memandu, ia akan meningkatkan risiko perlanggaran atau kerosakan kenderaan di bahagian belakang, sekali gus boleh menimbulkan ancaman bahaya kepada keselamatan,” tambah kenyataan itu.
Tesla akan memeriksa kereta yang ditarik balik secara percuma dan melakukan ujian pada trim atap kenderaan berkenaan.
China adalah pemacu pertumbuhan utama bagi kebanyakan pembuat kereta, khususnya Tesla, yang berhasrat untuk memanfaatkan sasaran bercita-cita tinggi negara untuk mengurangkan pelepasan CO2. – AFP
