Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Lebih 800 pegawai banci yang dilantik dan bakal menjalankan kerja-kerja banci di keempat-empat daerah bagi Peringkat Ketiga Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) hari ini mengangkat sumpah pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Hajah Mariah binti Haji Yahya.
Menurut kenyataan yang diterima di sini, para pegawai peringkat ketiga ini akan menjalankan banci secara bersemuka bermula 2 sehingga 29 Ogos ini dengan mengunjungi kediaman keluarga/isi rumah yang tidak diliputi semasa Peringkat Kedua BPP 2021: Pelaksanaan e-Census.
Mereka telah pun menerima latihan selama tiga hari pada 22, 24 dan 26 Julai lalu, bertujuan menerangkan mengenai tugas dan tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan.
Mereka juga dibimbing tentang penggunaan borang tanya banci dan etika serta tatatertib yang perlu diamalkan sebagai pegawai banci ketika menemu duga isi rumah.
BPP 2021 meliputi semua penduduk di negara ini sama ada di tempat tinggal biasa mereka iaitu merujuk kepada mereka yang telah atau akan tinggal sebagai ahli biasa isi rumah bagi tempoh enam bulan atau lebih dalam tahun 2021.
Sehubungan itu, orang ramai diseru memberikan sokongan dan kerjasama dengan memberikan maklumat yang tepat termasuklah pekerja asing yang diliputi di tempat kediaman masing-masing.
Orang ramai juga diingatkan supaya memastikan pegawai banci yang mengunjungi mereka adalah daripada lantikan yang sah melalui pas banci, surat lantikan dan kad pengenalan mereka.
