Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 800 sertai Football Funday JIS

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Lebih 800 pemain daripada 92 pasukan yang mewakili pelbagai sekolah dan kelab di negara ini telah menyertai acara Football Funday anjuran Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) yang berlangsung di sekolah berkenaan, kelmarin.

    Acara tahunan ini melibatkan kategori umur dari bawah sembilan tahun (B9) hingga bawah 19 tahun (B19), menarik minat peserta daripada pelbagai institusi pendidikan di negara ini.

    Selain pasukan dari JIS, antara sekolah dan institusi pendidikan yang terlibat ialah Sekolah Bakti Dewa, Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT), Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), Kolej Sains Kesihatan JPMC, Maktab Duli, Politeknik Brunei dan Sekolah Sukan.

    Ketua Pendidikan Jasmani dan Sukan JIS, Hasim Khan, menegaskan objektif utama acara tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan antara komuniti dan menggalakkan penyertaan aktif dalam kalangan belia.

    “Acara ini tidak hanya mempamerkan semangat kesukanan, malah memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi dan membina hubungan positif dalam suasana kompetitif yang sihat,” katanya.

    Antara aksi para peserta yang menyertai acara tersebut. – GAMBAR SERAHAN JIS
    GAMBAR SERAHAN JIS
    GAMBAR SERAHAN JIS

    Pelbagai aktiviti turut diadakan bagi memeriahkan acara, termasuk pameran seni dan kraf oleh usahawan tempatan yang menawarkan aksesori buatan tangan serta dekorasi rumah.

    Gerai makanan turut tersedia dengan hidangan seperti kopi, burger dan piza, manakala beberapa gerai disediakan oleh komuniti JIS bagi mengumpul dana untuk inisiatif sekolah seperti Projek Borneo, Penan Support dan Jawatankuasa Komuniti Ibu Bapa JIS (JPCC).

    Pengetua Eksekutif JIS, Nicholas Sheehan berkata penganjuran acara tersebut berjaya menyatukan komuniti dan mewujudkan suasana harmoni.

    “Kami berbesar hati menerima sokongan padu daripada para peserta dan penonton.

    Football Funday bukan sekadar acara sukan, tetapi juga satu platform untuk memperkukuh hubungan dalam komuniti. Kami berharap dapat menganjurkan acara ini lagi tahun hadapan,” ujarnya.

    Bagi menambah tarikan kepada pengunjung, aktiviti sukan interaktif diadakan di padang gim sekolah berkenaan bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyertai cabaran sukan dengan pelbagai hadiah menarik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda