Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Majlis bertadarus di Istana Nurul Iman pada malam ke-13, hari ini, telah dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Nazmi bin Haji Mohamad.
Acara dimulakan dengan sembahyang Fardu Isyak diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz, manakala solat Sunat Tarawih berjemaah diimamkan oleh Haji Hashim bin Abdullah dan doa dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili.
Majlis diikuti dengan tazkirah yang bertajuk Keistimewaan Khatam Al-Quran. Tazkirah bagi jemaah lelaki disampaikan oleh Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman dan bagi jemaah perempuan disampaikan oleh Datin Dr Hajah Rohanita binti Haji Yakub.
Kemudian, majlis disusuli dengan bacaan tadarus Al-Quran dan seterusnya ditutup dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir pada majlis itu seramai 800 orang terdiri daripada setiausaha-setiausaha tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), pegawai dan kakitangan lelaki dan perempuan dari KKBS dan guru agama dan jemputan khas.
