GENTING HIGHLANDS, 6 MEI – Sebanyak 8,036 saman kesalahan jalan raya dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 di seluruh negara sehingga semalam.
Kesemua saman berkenaan dikeluarkan selepas JPJ memeriksa 44,737 kenderaan sejak operasi itu bermula pada 29 April lepas.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia Datuk Lokman Jamaan berkata ini menunjukkan bahawa masih ramai lagi pemandu yang mengingkari peraturan jalan raya dikeluarkan walaupun pihaknya sebelum ini telah menasihati pemandu agar mematuhi peraturan itu.
“Kami berharap untuk tempoh dua hingga tiga hari sebelum habis tempoh operasi HRA pada 8 Mei ini, kesalahan jalan raya dapat dikurangkan dan pengguna jalan raya terus mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan khas di Terminal Bas Genting Highlands, Pahang, di sini hari ini. – Bernama