Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 80,000 orang dipindahkan akibat banjir teruk di China

    SHANGHAI, 25 JUN – Banjir besar yang melanda wilayah barat daya China telah memaksa lebih 80,000 penduduk berpindah dari kediaman masing-masing, lapor media rasmi hari ini, susulan kejadian jambatan runtuh yang melancarkan usaha mendadak untuk menyelamatkan seorang pemandu lori yang tergantung di hujung jambatan.

    China kini mengalami musim panas dengan cuaca ekstrem, termasuk gelombang haba yang melanda kebanyakan kawasan serta hujan lebat yang telah menenggelami wilayah lain.

    Sekitar 80,900 orang telah dipindahkan kelmarin petang di wilayah Guizhou, lapor agensi berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, sebuah padang bola sepak telah ‘ditenggelami air sedalam tiga meter’ di daerah Rongjiang.

    Rakaman daripada penyiar rasmi CCTV turut menunjukkan banjir besar yang menenggelamkan kampung-kampung dan menyebabkan jambatan runtuh di kawasan pergunungan wilayah tersebut.

    Pasukan penyelamat membantu memindahkan penduduk semasa banjir di Rongjiang, China pada 24 Jun. – AFP

    Pasukan penyelamat menggunakan bot untuk membawa penduduk meredah air berlumpur separas lutut, sementara kanak-kanak menunggu di tadika untuk diselamatkan.

    Pasukan penyelamat turut dilihat menyediakan dron untuk menghantar bekalan seperti beras kepada mangsa banjir.

    Puluhan ribu orang dipindahkan minggu lalu di wilayah Hunan akibat hujan lebat dan hampir 70,000 orang terpaksa dipindahkan di selatan China beberapa hari sebelumnya selepas banjir besar yang dicetuskan oleh Taufan Wutip.

    Pihak berkuasa China telah mengeluarkan amaran merah pertama tahun ini untuk aliran lumpur gunung di enam wilayah serta tahap amaran tertinggi dalam sistem empat peringkat negara itu.

    Menurut Xinhua, beberapa kawasan juga dijangka ‘terjejas’ dan kerajaan tempatan diminta memberi amaran awal kepada penduduk dan pihak berkuasa di Beijing turut mengeluarkan amaran haba tahap kedua tertinggi minggu ini pada salah satu hari paling panas tahun ini.

    Tahun lalu merupakan tahun paling panas yang pernah dicatatkan di China dan empat tahun kebelakangan ini adalah yang paling panas dalam sejarah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda