Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Peruntukan berjumlah $810,383,636 untuk perbelanjaan Tahun Kewangan 2024/2025 bagi Kementerian Pendidikan telah dibentangkan pada hari ke-10 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam mukadimahnya menjelaskan, daripada jumlah berkenaan, $549,176,850 iaitu 68 peratus disediakan untuk emolumen kakitangan iaitu sebanyak 12,580 jawatan bagi tenaga pengajar dan bukan tenaga pengajar.
Sementara itu, $221,997,500 iaitu 27 peratus untuk Perbelanjaan Berulang-ulang, dan Perbelanjaan Kemajuan sebanyak $39,209,286 iaitu 5 peratus.
Peruntukan yang disediakan itu akan dimanfaatkan dengan penuh amanah mengikut keutamaan dan keberhasilan impak untuk mendukung tema belanjawan bagi Tahun Kewangan 2024/2025 iaitu Bersatu Membina Masa Depan yang Lebih Makmur.
“Ini khususnya memfokuskan kepada pembangunan modal insan yang dinamik dan berwawasan bagi memenuhi ekspektasi pelbagai pihak yang berkepentingan,” jelasnya.


Dalam pembentangannya itu, Yang Berhormat Datin mengongsikan beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan pada Tahun Kewangan 2024/2025 bagi mendukung ketiga-tiga Matlamat Strategik Kementerian Pendidikan.
Ini antaranya, bagi Matlamat 1 iaitu memupuk pelajar siap siaga masa hadapan, projek-projek yang akan dilaksanakan adalah pengukuhan kualiti dan perisian kurikulum sejajar dengan piawaian antarabangsa.
Selain itu, pemantauan berterusan tahap kompetensi pelajar melalui sistem penilaian yang bersistematik dan komprehensif, dan memperkukuh dan meneruskan kerjasama dengan sektor industri untuk membentuk dan menawarkan program-program yang relevan dengan keperluan industri dan lainnya.
Manakala itu, dalam Matlamat 2 iaitu mempertingkat ekosistem pendidikan inovatif, projek-projek yang akan dilaksanakan termasuk penyediaan Digital Citizenship Framework dan Handbook for School Community serta pembinaan piawaian literasi digital bagi meningkatkan dan mengembangkan kemahiran pelajar dalam bidang teknologi.
Selain itu, meningkatkan infrastruktur dan ekosistem digital di institusi-institusi pendidikan termasuk penyediaan dan pelaksanaan smart classroom secara rintis di 15 buah sekolah rendah dan menengah kerajaan untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan inovatif.
“Meneruskan pembinaan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran secara digital melalui Digital Resource Management System (DRMS) dan MoE TV serta penggunaan Learning Management System (LMS) secara rintis di beberapa sekolah rendah dan menengah, maktab serta pusat tingkatan enam,” tambah beliau.
Projek-projek yang akan dilaksanakan berkaitan Matlamat 3 iaitu membina sumber tenaga manusia, antaranya mengemas kini dan mengimplementasikan kerangka kompetensi khusus (Specialised Competency) bagi tenaga bukan mengajar.
Di samping itu, menyediakan Kerangka Kerja Kompetensi bagi Kepimpinan Pengajian Tinggi dalam memastikan pemimpin-pemimpin pengajian tinggi yang berkaliber dan berpotensi tinggi sebagai antara program perancangan penggantian.
Turut dirancang adalah projek Manpower Auditing and Planning untuk membuat perancangan sumber tenaga kerja, dalam usaha meningkatkan kapasiti sumber tenaga manusia agar mencukupi dan terancang.
“Inisiatif-inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan bukan hanya untuk mencapai visi Kementerian Pendidikan tetapi turut melambangkan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam menyediakan pendidikan untuk semua dari segi akses ke pendidikan yang berkualiti, sejajar dengan tuntutan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat global,” tambahnya.

