GENEVA, 13 MEI – Konflik yang meruncing, bencana dan perubahan iklim yang semakin teruk menyebabkan berpuluh-puluh juta orang kehilangan tempat tinggal di negara mereka sendiri tahun lepas, mencatat rekod baharu, kata pemantau hari ini.
Seramai 83.4 juta orang kehilangan tempat tinggal (IDP) yang belum pernah terjadi sebelum ini telah didaftarkan pada 2024 – bersamaan de-ngan seluruh penduduk Jerman – berikutan perpindahan besar-besaran akibat konflik di tempat seperti Sudan dan Gaza, serta banjir dan taufan.
Jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding hanya enam tahun lalu, kata Pusat Pemantauan Perpindahan Dalaman (IDMC) dan Majlis Pelarian Norway (NRC) dalam laporan bersama tahunan mereka mengenai perpindahan dalam negara.
“Kehilangan tempat tinggal adalah pertembungan konflik, kemiskinan dan iklim, menjejas mereka yang paling terdedah,” kata ketua IDMC, Alexandra Bilak dalam satu kenyataan.
Badan pemantau itu menekankan hampir 90 peratus daripada IDP dunia, atau 73.5 juta orang, telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik dan keganasan peningkatan 80 peratus sejak 2018.
Kira-kira 10 buah negara masing-masing mempunyai lebih daripada tiga juta IDP akibat konflik dan keganasan pada akhir 2024, dengan Sudan yang dilanda perang saudara sahaja menjadi tempat tinggal kepada 11.6 juta IDP yang paling banyak dicatatkan dalam sebuah negara, menurut laporan itu.
Kira-kira dua juta orang, hampir kesemua penduduk Semenanjung Gaza, turut kehilangan tempat tinggal pada penghujung tahun lalu, walaupun sebelum pemindahan besar-besaran baharu sejak Israel menamatkan gencatan senjata selama dua bulan pada 18 Mac, meningkatkan pengebomannya ke atas wilayah Palestin. – AFP


