NAIROBI, 14 MEI – Lebih 84,000 orang terjejas akibat banjir kilat di Somalia sejak pertengahan April, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin, meninggalkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh.
Benua Afrika adalah salah satu rantau yang paling terdedah kepada perubahan iklim dan kejadian cuaca ekstrem kini semakin kerap berlaku.
“Sejak pertengahan April, banjir kilat yang disebabkan hujan lebat bermusim telah membunuh 17 orang dan menjejaskan lebih 84,000 orang di beberapa kawasan,” kata agensi kemanusiaan PBB, OCHA.
Angka itu termasuk penduduk yang dipaksa meninggalkan tempat tinggal, kehilangan tempat tinggal, kini mengalami kekurangan akses kepada bantuan kemanusiaan atau mengalami kekurangan air.
Jubaland, Hirshabelle, South West, Galmudug, negeri Puntland dan wilayah Banadir termasuk ibu kota Mogadishu paling terjejas, kata OCHA, menyaksikan lebih 8,100 orang kehilangan tempat tinggal.
“Infrastruktur penting telah rosak,” tambahnya, sambil menyatakan sumber air telah ditenggelami dan hampir 200 tandas telah musnah.
Ia berlaku hanya beberapa hari selepas hujan lebat di tenggara Banadir yang membunuh sembilan orang dan menjejaskan kira-kira 24,600 yang lain.
“Hujan itu memberi kesan ketara kepada orang yang kehilangan tempat tinggal,” kata OCHA, memetik pihak berkuasa tempatan.
Menurut laporan PBB, ahli meteorologi telah memberi amaran lebih banyak hujan dijangkakan dalam beberapa hari akan datang di selatan dan tengah Somalia. – AFP
