HAMILTON, 22 JULAI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin maklumkan memaklumkan bahawa 87.7 peratus daripada Wilayah Gaza kini berada dalam kawasan yang diisytihar sebagai zon ketenteraan Israel, tertakluk kepada perintah pemindahan, atau berada dalam kawasan yang bertindih antara keduanya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap PBB Stephane Dujarric, memetik Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), berkata pada sidang media bahawa 87.7 peratus Gaza kini tertakluk kepada perintah pemindahan atau berada dalam zon pemindahan, memaksa kira-kira 2.1 juta penduduk berhimpit dalam kawasan yang berpecah-belah dengan hampir tiada sebarang perkhidmatan tersedia. Angka berkenaan meningkat daripada 85 peratus dalam laporan terdahulu.
“Cuaca ekstrem, kelembapan, kesesakan serta kerapnya pembongkaran dan pemasangan semula khemah serta kanvas menyebabkan jangka hayat bahan perlindungan menjadi lebih pendek,” katanya sambil menekankan bahawa lebih 1.3 juta penduduk Gaza memerlukan tempat perlindungan dan barangan keperluan asas.
Beliau turut menyifatkan keadaan di Gaza sebagai amat parah, dengan tiada bekalan tempat perlindungan dibenarkan masuk sejak lebih empat bulan lalu. “Krisis bahan api masih berterusan. Bekalan bahan api yang dibenarkan masuk sejak beberapa hari kebelakangan ini amat terhad dan tidak mencukupi,” katanya sambil menjelaskan bahawa PBB terpaksa mengutamakan penggunaannya untuk operasi paling kritikal.
Dujarric turut menyuarakan kebimbangan terhadap, “laporan berhubung individu tiba di pusat kesihatan dan hospital dalam keadaan kesihatan yang sangat buruk akibat kekurangan zat makanan.
“Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan lebih sedozen kematian, termasuk dalam kalangan kanak-kanak akibat kebuluran dalam tempoh 24 jam lalu,” katanya.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 86 orang termasuk 76 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan dehidrasi sejak Oktober 2023.
Pejabat Media Kerajaan Gaza memberi amaran bahawa wilayah itu kini berada ‘di ambang kematian besar-besaran’ selepas lebih 140 hari semua lintasan sempadan ditutup hampir sepenuhnya.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel membunuh hampir 59,000 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Serangan berterusan itu telah memusnahkan sebahagian besar wilayah berkenaan, hampir melumpuhkan sistem kesihatan dan mencetuskan keadaan seperti kebuluran. – Bernama/Anadolu
